Sabtu, 02 Maret 2013

wanita solehah

Wahai ibuku…apakah yang dimaksudkan ‘Wanita perhiasan dunia, sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah’?

Wahai anakku…
Wanita hiasan dunia ialah wanita yang umpama sebutir berlian yang berada di atas mahkota terletak elok menjadi tumpuan dan idaman orang yang melihatnya. Wanita solehah pula umpama sebutir berlian yang berada di dalam lumpur tidak ada sesiapa yang tahu kehadirannya.

Mengapa wanita hiasan dunia di letakkan ditempat yang terpuji? sedangkan wanita solehah itu berada di dalam lumpur. Bukankah sepatutnya ia dimuliakan seperti di atas takhta? Apa bezanya, wahai ibuku…?

Wahai anakku…
Wanita hiasan dunia begitu ramai sekali. Wanita ini suka berhias mempamerkan aurat kecantikan diri.Bahkan tidak malu memperlihatkan bahagian sulitnya yang diharamkan oleh Allah kepada bukan muhrimnya. Wanita ini lebih mengutamakan kecantikan luaran dari kecantikan dalaman kerana kecantikan inilah ramai yang terperdaya dengan pandangan mata, kehendak nafsu dan bisikan syaitan. Sehingga ramai kaum lelaki tergila-gilakan wanita yang jelita dan mempersona.Padahal kecantikan ini bersifat sementara akhirnya ramai yang jatuh ke lembah kehinaan. Wanita inilah dikatakan ‘WANITA HIASAN DUNIA’ mudah dijumpai dan senang dimiliki.
Wanita solehah pula, hidupnya di alam ini bukan hidupnya untuk dipuja, dipuji apatah lagi disanjung. Jalan hidupnya penuh kesulitan dan kepahitan. Banyak dugaan yang akan dilalui namun dari dugaan itu ia belajar dari ujian demi ujian yang Allah berikan. Dari ujian itulah ia bersabar, tabah, tunduk yakni tawaduk serta istiqamah dalam perjalanan hidupnya. Beginilah kehidupan wanita solehah yang Allah corakkan buatnya di atas dunia ini. Oleh kerana itulah wanita solehah diletakkan oleh Allah kedudukannya umpama seperti berlian di dalam lumpur di alam ini. Biarpun dirinya dipenuhi selut namun ia tetap bertahan dalam kilauannya yakni nur iman.

Mengapa begitu payahnya perjalanan wanita solehah itu wahai ibuku….

Ketahuilah wahai anakku…dunia ini meskipun pada pandangan mata kita indah…penuh kemanisan, kenikmatan, keseronokan begitu juga penuh pergolakkan, pergaduhan, bencana dan peperangan. Itulah dunia….fana, bersifat sementara….semua yang ada di alam ini akan binasa pada waktu yang Allah tetapkan. Jika kita merasa senang dan aman dengan semua yang ada di dunia ini. Sudah pasti kita akan terpersona dengan keindahan dunia…cinta kepada dunia…sayang kepada dunia . Akhirnya kita lalai dan lupa kepada Allah sedangkan alam akhirat itulah alam yang kekal lagi abadi.

Masih adakah wanita solehah ini pada hari ini wahai ibuku…?

Masih ada lagi wahai anakku…tetapi ia tersembunyi…Allah asingkan ia dari hal keduniaan dan Allah tunjuki ia jalan untuk beramal dan beribadah kepada Allah. Antaranya menikahi wanita ini dengan segera supaya terhindar dari maksiat terpelihara syahwat. Tetapi ramai antara kita tidak ambil pengajaran dan hikmahnya disebalik pernikahan itu.

Benarkah seorang wanita solehah pasti pasangannya seorang suami yang soleh?

Wahai anakku…soal jodoh bukan atas pilihan kita, ada juga Allah pertemukan dengan pasangan yang berbeda sifat dan kemahuannya. Oleh kerana itulah kadangkala jika ada seorang wanita yang hidup berumahtangga tetapi tidak bahagia hidupnya. Ketahui dan halusilah kefahaman atas apa yang Allah ingin sampaikan. Janganlah mudah mengalah atau berputus asa. Ingatlah berputus asa adalah durhaka kepada Allah. Sedangkan rahmat Allah itu Maha Luas dan tidak terjangkau kiraanya meskipun selautan demi selautan dikira tidak akan bisa habis.

Wahai ibu…bukankan wanita solehah ia punyai ganjaran yang besar disisi Allah?

Benar..anakku, tetapi wanita ini tidak memandang pada ganjaran itu kerana ia merasakan hidupnya penuh dengan dosa. Kerana kehidupannya yang sering teruji itu membuatkan ia takut dengan dosa-dosanya. Ia sedar bahwa Allah itu Maha Melihat…Maha Mendengar…Allah tahu bahawa jiwanya menderita…Allah tahu kesedihannya kerana itulah wanita itu takut tangisannya menjadi dusta kerana ia merasakan seolah-olah ia tidak tabah dengan ujian Allah. Bukan mudah wahai anakku… hatinya sering terluka, sakit derita kerana jiwa mereka bertentangan. Sudah semestinya seorang isteri solehah pelengkapnya ialah suami yang soleh kerana sebaik-baik suami adalah baik kepada isterinya. Tetapi bagi seorang wanita solehah tidak akan mempersia-siakan pemberiaan dari Allah meskipun suami itu tampak buruk, cacat perilakunya serta kurang ilmunya. Bahkah seorang wanita solehah akan berusaha sedaya upaya membawa suaminya kembali ke jalan Allah.

Wahai ibuku…. bukankah wanita solehah itu dikasihi Allah. Sudah semestinya kehidupannya ada kebahagian.

Wahai anakku…bukan kerana Allah itu tidak tahu atau mengerti sedangkan Allah itu Maha Mengetahui dan Allah tahu apa yang DIA aturkan. Adakah kita mengira telah cukup beriman kepada Allah sedangkan kita tidak diuji?. Betapa bijak dan hikmahnya Allah mengadakan…inilah pelantar ujian buat seorang isteri tanpa ia sedari. Hikmah inilah seorang wanita itu harus bijak belajar ilmuan yang Allah turunkan dalam jiwanya agar jiwanya berakal. Ingat wahai anakku…ada sesetengan wanita disatukan dengan seorang lelaki soleh tetapi ia tidak menempuh jalan kesulitan bahkah tidak rela menghadapi bersama suaminya. Ada jua yang merasa senang dan dengan kesenangan itu ia sombong, riya dalam diri sesungguhnya ia terpedaya. Ingatlah kekasih Allah ialah hamba-Nya yang hidupnya di dunia akan menempuh jalan yang beronak ranjau berduri tetapi jiwanya tetap tenang bermujahadah ke jalan Allah hingga menuju kebahagian yang abadi itulah yang dicari.

Jadi, wahai ibuku…apa sebenarnya ‘SEBAIK-BAIK PERHIASAN ADALAH WANITA SOLEHAH’?

Perhiasan wanita solehah ini bukan di alam ini wahai anakku. Tetapi ia akan menjadi penghias di akhirat kelak menjadi tamu-tamu Allah di taman syurga-Nya itulah sebaik-baik perhiasan.

Wahai ibuku…betapa sedihnya diri ini mendengar segala apa yang ibu ceritakan kepadaku…sesungguhnya daku takut untuk menempuh perjalanan itu. Bagaimana harus daku melepasinya wahai ibuku….?

Sesungguhnya dalam kepahitan itu ada kemanisannya dan dalam kesakitan itu ada penawarnya. Carilah ia dalam sepanjang hidupmu….selagi hayatmu ada wahai anakku….sehingga kau mengapai erti redha, redha menerima segala qadaq dan qadar Allah. Ingatlah, apa ertinya jika kita mencari redha ilahi sedangkan kita tidak redha menerima dan menghadapinya kerana kunci keredhaan Allah ialah apabila engkau redha maka Allah akan redhaimu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar